Mula-mula tengok bola, kemudian tengok api

Mula-mula tengok bola, kemudian tengok api

SUASANA riuh-rendah penyokong bola sepak menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris di sebuah restoran di Taman Telipok Ria, Tuaran, bertukar cemas apabila sebuah pasar raya terletak bersebelahan terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, kepulan asap tebal dan api yang marak di tingkat atas pasar raya itu disedari beberapa pengunjung restoran yang kemudiannya segera mengalihkan kenderaan masing-masing.

Pengunjung restoran, Petrus Bulahai, 35, berkata, keasyikan menonton perlawanan antara Manchester United dan Liverpool itu ‘terbantut’ apabila orang ramai berlari ke kawasan kejadian untuk menyelamatkan enam kenderaan yang diparkir hadapan premis berkenaan.

Katanya, orang ramai juga terpaksa membantu menolak beberapa kenderaan yang tiada pemiliknya bagi mengelakkan daripada turut terbakar.

“Lebih 40 terpaksa menolak enam kenderaan termasuk kereta, bas dan lori untuk memudahkan jentera bomba memadam api kebakaran.

“Mujur ketika itu ramai orang berada di restoran berhampiran. Tindakan pantas bomba memadam api juga dapat menyelamatkan beberapa unit kedai di blok berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam 12.03 tengah malam.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama dua jentera bomba dikerah untuk memadamkan api kebakaran sebelum bantuan tambahan jentera dan anggota dari Balai Bomba Jalan Lintas di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, tingkat atas premis pasar raya yang menjual pakaian ini musnah hampir 80 peratus, namun pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke premis bersebelahan.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan 1.35 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Abdul Qawie berkata, Jabatan Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian dan anggaran kerugian dalam insiden ini.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah pasar raya. – Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah pasar raya. – Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah pasar raya. – Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *