Sabah bincang KKM isu imunisasi

MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemberian imunisasi kepada semua bayi dan kanak-kanak di negeri ini tanpa mengira warga negara.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, berkata ia termasuk menetapkan tarikh pelaksanaan program pemberian imunisasi berkenaan, dalam usaha membendung wabak demam campak di Filipina daripada menular ke negeri ini.

“Oleh itu, saya akan bincang segera dengan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat ini kerana tarikh untuk melaksanakan program ini (imunisasi) belum ada lagi,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai bila pemberian imunisasi akan dilaksanakan kepada semua bayi dan kanak-kanak termasuk yang tiada kerakyatan susulan wabak demam campak di Filipina makin teruk apabila membunuh 189 mangsa manakala lebih 11,000 disahkan dijangkiti virus berjangkit itu.

Mengikut Jabatan Kesihatan Negara itu, sebahagian besar kematian membabitkan mangsa yang tidak pernah mengambil vakain demam campak.

Susulan wabak itu, Jabatan Kesihatan Sabah akan melakukan aktiviti imunisasi tambahan kepada komuniti.

Sebelum ini dilaporkan sehingga 9 Februari lalu, Sabah mencatatkan tiga kes demam campak membabitkan kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi berumur setahun hingga enam tahun dengan dua daripadanya adalah warga asing.

Sepanjang tahun lalu, Sabah merekodkan 73 kes demam campak dengan satu kematian, iaitu hanya 15 peratus daripada mereka disuntik dengan kes paling banyak dilaporkan ialah di Kudat iaitu 30, diikuti Semporna (21) manakala Kota Kinabalu dan Tawau, masing-masing empat kes.

Mengulas lanjut, Wong berkata, kerajaan tiada masalah untuk melaksanakan pemberian imunisasi berkenaan kepada semua bayi dan kanak-kanak tanpa mengira warga negara mereka. Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *