Dua Pelajar Maut Tercampak Keluar Dari Kenderaan

Kenderaan Toyota Land Cruiser yang terbabas sendiri sehingga mengakibatkan dua maut di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Dua pelajar lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dinaiki mereka dalam kemalangan di Jalan Pantai Pimping, Membakut dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, Joelary Juni @ Kulin, 16, dan Mohd Fadzil Loin @ Mohd Zulkifli, yang duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan Toyota Land Cruiser, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata kenderaan yang dinaiki empat lelaki itu sedang dalam perjalanan dari arah Palu-Palu menuju ke Membakut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terbalik beberapa kali.

“Dua pelajar lelaki yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman yang parah,” katanya di sini, hari ini.

Azmir berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang hadapan masing-masing berusia 20 dan 21 tahun, hanya cedera ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

“Tiada unsur-unsur khianat atau jenayah dikesan dalam kemalangan itu, namun polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar Ihsan IPD Beaufort
Keadaan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang terbabas di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar Ihsan IPD Beaufort

Keadaan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang terbabas di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar Ihsan IPD Beaufort

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *