42 ditahan kes penyalahgunaan dadah

ANTARA barangan yang dirampas dalam operasi pembanterasan aktiviti penyalahgunaan dadah yang dijalankan selama seminggu di Kota Kinabalu. – NSTP/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis menahan 42 individu termasuk lima wanita dan merampas dadah syabu serta ganja dalam operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini selama seminggu yang berakhir semalam.

Operasi bermula 16 Februari lalu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sekitar Suang Parai, Manggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 11 suspek ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 31 suspek didapati positif dadah hasil ujian air kencing.

“Seramai 32 suspek yang ditahan adalah warga tempatan manakala 10 lagi warga asing berusia antara 18 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, dalam tempoh itu juga, polis merampas 1,158 gram ganja dan 5.60 gram syabu yang keseluruhannya bernilai RM3,800 mengikut harga pasaran gelap.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya ini akan diperhebatkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman di kawasan bandar raya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *