UMS terima RM1 juta sumbangan zakat daripada BPMB

Mohamad Salihin Deris (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan zakat RM1 juta kepada Mohd Zaidie (kanan) sambil disaksikan Suhaimi (kiri). Gambar Ihsan UMS

KOTA KINABALU, 22 Feb – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima sumbangan wang zakat korporat sebanyak RM1 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), hari ini.

Sumbangan zakat berkenaan disampaikan oleh Ketua Kumpulan Pengurusan Syariah BPMP, Mohamad Salihin Deris kepada Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu majlis di Masjid UMS, di sini, hari ini.

Terdahulu, D Kamarudin, dalam teks ucapannya yang dibacakan Zaidie, berkata, UMS berterima kasih kerana mendapat kepercayaan  bank tersebut serta menjadi penyumbang terbesar untuk universiti berkenaan setakat ini.

“Sumbangan zakat yang terkumpul akan diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah (pelajar). Sumbangan berkenaan diagihkan mengikut 1,021 permohonan zakat yang diterima melalui sistem e-zakat yang telah dibuka dari 26 Okt hingga 26 Nov tahun lalu,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Nor Sham Soyod.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *