Petrol Naik 10 Sen Sahaja, Diesel Kekal

HARGA runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing naik 10 sen, pada harga RM2.38 seliter dan RM2.08 seliter manakala, diesel kekal RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 23 Februari hingga 1 Mac berdasarkan penetapan harga mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Peningkatan harga runcit petrol didorong oleh faktor peningkatan purata kos produk diproses (refined product) di pasaran dunia, berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$63.11 setong kepada AS$66.91 setong.

“Bagi produk diesel, kos purata produk diproses turut meningkat secara ketara iaitu daripada AS$74.38 setong kepada AS$79.11 setong. Sepatutnya harga runcit diesel adalah sebanyak RM2.33 seliter,” katanya, hari ini.

Bagaimanapun, kementerian memberitahu, selaras janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel sekiranya harga sebenar pasaran lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan iaitu RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel, maka harga runcit kekal pada paras RM2.18 seliter. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *