Sabah bangunkan Pelabuhan Kudat

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas menandatangani plak perasmian jeti baharu di Pelabuhan Sandakan, di Sandakan.

SANDAKAN: Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk membangunkan pelabuhan di Kudat dan menyediakan sistem perhubungan lebih baik, termasuk mewujudkan laluan perhubungan kereta api untuk memudahkan perdagangan antara negeri ini dan negara dalam rantau Asia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia kini di peringkat mengenal pasti keperluan pelabuhan itu dan pembangunan itu dijangka mampu direalisasikan bermula tahun depan.

Katanya, pelabuhan itu berpotensi untuk dibangunkan bukan saja untuk industri perkapalan, komoditi dan pelancongan, malah kedudukan daerah itu yang hampir dengan Filipina, China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun membolehkan Sabah memanfaatkan produk dari negeri ini seperti perabot untuk dipasarkan di luar negara.

“Kita akan laksanakan inisiatif ini (membangunkan pelabuhan Kudat) dan perlu wujudkan sistem perhubungan lebih baik kerana kita tak boleh bergantung terhadap jalan raya yang ada sekatan, perlu penyelenggaraan jalan.

“Jika menggunakan kereta api, kita tak perlu bimbang terhadap masa, had berat yang dibawa oleh kargo kerana kereta api menepati masa dan boleh tampung. Inisiatif kita untuk sediakan prasarana sebelum keperluan mendesak datang,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jeti Baru Pelabuhan Sandakan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Madius Tangau; Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dan Pengerusi Sabah Ports Sdn Bhd yang juga Pengerusi Suria Capital Holding Berhad, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Jeti baharu itu menjadi dermaga pelabuhan berukuran 495 meter panjang dan 65 meter lebar dan boleh menampung enam kapal dagang pada satu masa dengan kos RM129.4 juta.

Sementara itu, Ibrahim berkata, dermaga baharu Pelabuhan Sandakan menjadi mercu tanda penting terhadap pembangunan prasarana pelabuhan demi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan dan memudahkan perdagangan dan pelaburan di negeri ini.

Katanya, pelabuhan itu bukan saja bergantung terhadap hasil minyak sawit, malah pintu masuk pelancong dan penumpang dari selatan Filipina, selain mengendalikan hampir semua jenis kargo seperti kontena, kargo am, pukal minyak, kapal penumpang dan perkhidmatan feri.

“Pelabuhan Sandakan adalah pintu utama bagi pembangunan ekonomi negeri kerana peranannya dalam kepesatan ekonomi di kawasan pantai timur. Pelabuhan ini juga sudah mengendalikan kira-kira 4.4 juga tan kargo setahun secara konsisten,” katanya. – Berita Harian

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap semasa perasmian jeti baharu di Pelabuhan Sandakan, di Sandakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *