Mohd Shafie terima kunjungan hormat Duta Besar Filipina ke Malaysia

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 21 Feb – Pelaksanaan sistem perdagangan barter antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Duta Besar Filipina ke Malaysia Charles C. Jose, hari ini.

Ia bersempena kunjungan hormat Charles terhadap Mohd Shafie di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohd Shafie berkata beliau gembira pertemuan pertama kali dengan Charles itu dapat memberikan perkembangan positif terhadap perkara yang dibincangkan dalam usaha merapatkan hubungan antara Sabah dengan Filipina.

Beliau berkata mengenai perdagangan barter, usaha ditumpukan untuk meningkatkan perdagangan itu menerusi kerjasama antara Sabah dengan Filipina.

Menurutnya, antara yang disentuh ialah penggunaan Ringgit dan Peso dalam urusan perniagaan barter tersebut.   

Langkah itu juga dilihat dapat menstabilkan mata wang kedua-dua negara, katanya.

Beliau berkata usaha meningkatkan kerjasama antara jabatan berkaitan kedua-dua negara termasuk Jabatan Imigresen dalam urusan perdagangan barter ini juga turut dibincangkan.

Mohd Shafie berkata perkara lain yang disentuh pada pertemuan itu adalah meningkatkan kerjasama dalam menangani masalah penyeludupan dan penculikan antara kedua-dua negara.

Perkara berkaitan pendidikan anak-anak warganegara Filipina yang ibu bapa mereka bekerja di negeri ini turut dibincangkan, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *