Sabah rekod jumlah hasil pelancongan tertinggi dalam sejarah

Kehadiran pelancong asing di pintu gerbang Jesselton Point, Kota Kinabalu yang merupakan laluan utama ke Taman Marin Tunku Abdul Rahman

TAWAU: Industri pelancongan Sabah tahun lepas merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM8.342 bilion.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, jumlah kedatangan pelancong turut mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.879 juta pelancong.

Menurutnya, statistik yang direkodkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menunjukkan jumlah kedatangan pelancong meningkat 5.3 peratus sepanjang 2018 dan hasil pelancongan turut meningkat 6.6 peratus berbanding RM7.82 bilion pada 2017.

Beliau berkata secara keseluruhan, rekod kedatangan pelancong antarabangsa meningkat sebanyak 10.2 peratus manakala peningkatan 2.8 peratus bagi ketibaan domestik.

“Negara China melangkaui paras setengah juta ketibaan pelancong dengan rekod seramai 593,623 pelancong China datang ke Sabah tahun lepas.

“Sehingga Disember 2018, penerbangan terus dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) merekodkan jumlah sebanyak 125 penerbangan seminggu,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Chirstina berkata, pelancong dari Korea Selatan mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan peningkatan sebanyak 8.5 peratus melibatkan seramai 337,100 pelancong.

Menurutnya, pasaran negara Singapura juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 9.1 peratus tahun lepas.

“Saya amat berbangga dengan prestasi yang dicapai industri ini tahun lepas dan ia adalah tahun terbaik buat Sabah.

“Setakat ini, kita berhubung dengan 26 destinasi antarabangsa menerusi 12 penerbangan asing.

“Justeru, kita akan menekankan lebih banyak pelancongan domestik ke Sabah memandangkan banyak kawasan pelancongan dibuka di negeri ini untuk pelancongan,” jelasnya.

Beliau berkata, setiap minggu sebanyak 444 penerbangan yang menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tiba ke Sabah meliputi kapasiti hampir 75,000 tempat duduk.

Sumber : Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *