2 lagi batalion PGA perkukuh pertahanan Sabah

ZANUDDIAN (kiri) memakaikan pangkat kepada Inspektor Ezandro Sualin pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Pangkat di Briged Sabah PGA, Kinarut. – Foto Khairull Azry Bidin

PAPAR: Cadangan penubuhan dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kunak dan Kudat akan memperkasakan lagi kawalan keselamatan di Sabah.

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Zanuddian Samsu Hadi berkata, di Sabah setakat ini ada lima batalion iaitu di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran, Sandakan dan Tawau.

“Kita ada lima batalion dan kerajaan ada cadangan menubuhkan dua lagi batalion yang telah diluluskan iaitu Batalion 21 di Kunak dan satu lagi Batalion 22 di Kudat.

“Apabila ditubuhkan dua lagi akan menjadi tujuh batalion semuanya. Bagaimanapun, penubuhan bagi Batalion 21 di Kunak belum diketahui lagi namun jawatan dan tempat sudah ada iaitu di belakang Hospital Kunak,” katanya ketika ditemui media selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan Pemakaian Pangkat Briged Sabah PGA di Padang Kawad Briged Sabah, di Kinarut, di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya penubuhan dua batalion dilakukan, briged akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Briged Sabah Utara dan satu lagi Briged Sabah Selatan.

“Sekiranya ditubuhkan batalion terbabit, Batalion 14 di Tawau dan Batalion 17 di Lahad Datu akan menjadi Briged Sabah Selatan dengan pertambahan Batalion 21 di Kunak.

“Manakala Batalion 16 Kota Kinabalu dan Batalion 22 yang akan dibuat di Kudat, serta Batalion 20 di Beluran dan Batalion 15 di Sandakan akan jadi Briged Sabah Utara,” katanya.

Zanuddian berkata, ia adalah rancangan masa depan yang akan dilaksanakan untuk keselamatan di Sabah.

“Saya difahamkan, ia sudah lama dicadangkan tetapi tunggu pihak atasan laksanakannya nanti,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *