Usahawan Sabah Digesa Proaktif Manfaatkan Hasil R&D

KOTA KINABALU, 19 Feb – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa usahawan di negeri itu supaya lebih proaktif memanfaatkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pelbagai agensi kerajaan untuk membangunkan produk yang lebih berkualiti yang mampu menembusi pasaran.

Mohd Shafie berkata usahawan Sabah juga perlu mengambil peluang menerusi dana atau insentif disediakan kerajaan bagi memulakan perniagaan, seterusnya melonjakkan potensi kerjaya dalam bidang itu.

“Dana disediakan kerajaan itu bukan sahaja akan memberi manfaat dari segi penyediaan modal bahkan membimbing para usahawan memastikan produk serta perkhidmatan dihasilkan berkualiti tinggi selain memenuhi cita rasa dan kehendak pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kilang pemprosesan produk sambal, sos dan pes makanan sebuah syarikat swasta diusahakan seorang usahawan muda dari Kampung Darau Lama di Manggatal, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Chong Chen Bin.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sentiasa komited melahirkan dan membangunkan lebih ramai usahawan muda berdaya saing, namun, usahawan di Sabah perlu mempunyai keinginan tinggi untuk menambah pengetahuan dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan, terutama dalam era ekonomi digital kini.

“Saya berharap program pembangunan usahawan dilaksanakan di Sabah menghasilkan impak positif dan para usahawan mampu bergerak maju dalam perniagaan masing-masing, seterusnya menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *