TLDM Sentiasa Siap Siaga Hadapi Sebarang Senario Politik Selatan Filipina

LUMUT, 19 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi apa juga senario politik di selatan Filipina, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Katanya TLDM turut bekerjasama dengan Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia agi menjalankan operasi bersepadu terutama di perairan timur Sabah, menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).


Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany . Gambar Bernama

“Soal sama ada Undang-Undang Organik Bangsamoro (Bangsamoro Organic Law) itu diterima atau tidak diterima, kita sentiasa bersiaga di mana-mana terutamanya di perairan Sabah.

“Kalau nak tahu kita (TLDM) berada dekat dengan pulau-pulau itu (sekitar Sabah)… dengan (anggota) tentera daratnya lagi. Sekarang ni anggota di situ mencukupi, cuma kawasan itu terlalu luas namun terkawal,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Ulung Panglima Tentera Laut di Kapal Diraja (KD) Pelanduk, Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata setakat ini tiada sebarang insiden atau kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku di perairan Sabah.

Mohd Reza berkata demikian bagi mengulas kesiapsiagaan pihaknya di perairan Sabah selepas perkembangan politik terbaru di selatan Filipina baru-baru ini yang memberi kuasa autonomi kepada sebahagian besar kepimpinan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), tanpa penyertaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Mengenai majlis hari ini, perbarisan penuh istiadat tersebut, yang terdiri daripada 25 pegawai dan 636 anggota lain-lain pangkat, diladakan bagi meraikan lawatan Mohd Reza selepas mengambil alih jawatan Panglima Tentera Laut pada November tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata komuniti nelayan tidak perlu risau mengenai tahap keselamatan di perairan negara kerana rondaan sentiasa dijalankan di perairan Selat Melaka bagi mengelak sebarang ancaman dari negara asing.

Beliau berkata rondaan itu dapat diperluaskan lagi apabila enam kapal tempur pesisir pantai (LCS), yang kini dalam pembinaan, dan empat kapal misi persisir (LMS), siap dibina hujung tahun ini atau awal tahun hadapan, sekali gus memperketatkan pertahanan maritim negara.

“Kita (TLDM) memang ada di situ (Selat Melaka) 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di tempat tertentu (antaranya) di Selat Melaka, Selatan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Sabah Timur. Saya rasa begitu juga dengan agensi-agensi lain,” katanya.

Mengulas mengenai sebuah bot nelayan tempatan yang ditarik kapal penguasa Indonesia di posisi 55.4 batu nautika dari Barat Pulau Talang, Perak perairan Malaysia ke perairan negara itu pada 13 Feb lalu, Mohd Reza berkata beliau difahamkan bahawa terdapat rundingan sedang dijalankan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *