Tiga warga Sabah diperdaya di Kemboja tiba di Kota Kinabalu

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyambut Philip Ho Chee Chin (dua dari kanan), Chong Su Kyun (dua dari kiri) dan Jeffrydean Jude di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Hasrat mahu memperbaiki taraf hidup keluarga mendorong Chong Su Kyun, 37, menerima tawaran bekerja melalui Facebook sebelum menyedari ditipu oleh ‘ejen halimunan’ di Kemboja.

Su Kyun dari Kota Marudu adalah antara 47 mangsa yang diselamatkan termasuk dua lagi dari Keningau manakala selebihnya dari Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur, selepas terpedaya dengan ejen pekerjaan lebih dua bulan lalu.

Menurut Su Kyun, dia mendapat tahu ‘pekerjaan’ itu menerusi Facebook dengan tawaran gaji yang lumayan iaitu AS$1,200 (RM4,900) dan pergi ke Kemboja pada November lalu.

“Saya minta kerja bahagian mekanik tetapi ejen beritahu pelbagai kerja boleh dibuat dan saya ditawarkan kerja ‘online casino’ (kasino dalam talian).

“Saya kemudian sedar ditipu selepas diberitahu kerja mekanik tiada dan diminta buat kerja menggunakan komputer dan disuruh belajar sebelum ditahan (pihak berkuasa),” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Katanya lagi, dia yang bekerja sebagai mekanik sebelum ini hanya mahu memperbaiki taraf hidup keluarga memandangkan dua anaknya masih kecil dan isteri pula sedang mengandung.

“Ketika di Kemboja, pasport dan telefon saya diambil dengan alasan dalam rumah itu ramai orang dan takut hilang, jadi mereka tolong simpan.

“Sepanjang ditahan, saya selalu ingat keluarga. Saya cuma ada masa satu hingga dua minit saja menghubungi keluarga dan tidak pernah beritahu isteri bahawa saya dikurung kerana tidak mahu dia susah hati kerana sedang mengandung,” katanya.

Menurut Su Kyun, ia pengalaman paling buruk yang pernah dilalui, walaupun sebelum ini pernah bekerja di Singapura ketika masih bujang.

Chong Su Kyun bertemu isteri dan anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi. – Foto BERNAMA

“Selepas ini, saya tidak mahu ke mana-mana lagi. Biarlah saya di Kota Marudu saja,” katanya.

Sementara itu, isterinya Catherine Jaikol, 28, gembira suaminya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

“Saya benarkan dia bekerja di sana tetapi tidak sangka dan langsung tidak syak bahawa dia ditipu.

“Selepas ini saya tidak akan benarkan lagi dia bekerja di luar negara kerana selepas saja tahu keadaannya di sana, saya menangis kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Katanya lagi, dua anak mereka Mellerine, 8 dan Olivon, 3, sering mencari ayah mereka selepas dua bulan lebih berada di Kemboja.

Seorang lagi mangsa, Jeffrydean Jude, 19, turut berkongsi pengalaman perit sepanjang di Kemboja selepas ditawarkan kerja di hotel dengan gaji yang lumayan.

“Saya tahu ‘kerja’ ini hujung September melalui Facebook dan tidak pernah berjumpa dengan individu yang menguruskan pekerjaan ini sehingga tiba di Siem Reap. Saya bayar sebanyak AS$300 (RM1,200) sebagai yuran ejen melalui pemandu yang ambil kami di sana.

“Sebaik tiba di sana, saya sudah mula curiga dan sepanjang berada di rumah itu, bilik kami dikunci dan hanya keluar ke ruang tamu berjumpa dengan yang lain ketika waktu makan,” katanya.

Philip Ho Chee Chin, 25, pula mengakui rindu keluarganya di Keningau kerana itu kali pertama berada di luar negara.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Kemboja kerana menyelamatkan serta membawa kami pulang semula ke sini,” katanya.

Terdahulu, tiga mangsa itu diterbangkan dari Kuching ke Kota Kinabalu dan ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *