Hati-hati cari kerja

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman memperkatakan sesuatu kepada tiga tahanan Kemboja ketika tiba di Lapatangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

PENCARI kerja dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mencari pekerjaan kerana ada pelbagai kaedah ‘scammer’ melakukan penipuan untuk mendapatkan keuntungan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kes tipu seperti yang berlaku kepada 47 rakyat Malaysia yang diperdaya di Kemboja sering berlaku di negara ini.

“Saya minta, ‘job seekers’ di luar sana supaya lebih berhati-hati kerana kita tahu banyak scammer yang menipu untuk tujuan mendapatkan keuntungan kerana inilah modus operasi mereka.

“Ini cara mereka memungut keuntungan dan difahamkan seorang daripada mangsa rakyat Sabah mengatakan dia dikenakan bayaran sebanyak 300 Dolar Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui media selepas menyambut tiga rakyat Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Chong Su Kyun, 37, dari Kota Marudu, manakala Jeffrydean Jude, 19, dan Philip Ho Chee Chin, 25, masing-masing dari Keningau tiba di KKIA pada 11.25 malam menerusi penerbangan dari Kuching, semalam.

Mereka antara 47 rakyat Malaysia yang dikurung sebelum ditahan pihak berkuasa di Kemboja selepas terpedaya dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan ejen pelancongan yang diketahui melalui Facebook antara September hingga Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan berhubung kes itu dan diharap pelakunya dapat dibawa ke muka pengadilan.

Katanya lagi, kerajaan negeri amat berterima kasih dengan kerajaan Kemboja yang membebaskan rakyat Malaysia dengan selamat termasuk tiga dari Sabah.

“Melalui hubungan baik kerajaan Malaysia dengan Kemboja, pembebasan semua mangsa dibuat secara baik antara dua negara,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *