Siasatan menyeluruh cari punca pelajar lemas – Lam Thye

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Yick Nam, Wang Teck Yun (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR & PT 3 2018 Program Bantuan Pelajar Eco World Zon Sabah di Kota Kinabalu, semalam. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar yang lemas di kolam renang Kompleks Sukan Likas, Rabu lalu.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hasil siasatan perlu dimaklumkan kepada umum sebagai keadilan kepada keluarga mangsa dan kepentingan awam.

“Jika tiada unsur jenayah, kita perlu tahu kenapa tiada pemantauan bagi menghalang mangsa daripada pergi ke kolam yang dalam. Kita juga perlu tahu ada atau tidak pengawal ditugaskan dan sama ada kolam itu dilengkapi dengan protokol keselamatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden pelajar berumur 14 tahun, Nicholas Chong Zhen Yi, lemas ketika menjalani latihan renang di kolam Kompleks Sukan Likas, kira-kira jam 12 tengah hari, Rabu lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2, kira- kira setengah jam kemudian.

Lam Thye berkata, jika sekolah dan pengurusan kompleks sukan mempunyai protokol keselamatan, pasukan siasatan perlu menyemak sama ada ia mencukupi atau tidak dipatuhi.

“Semua pihak perlu menjadikan pencegahan kejadian lemas sebagai sebahagian daripada budaya, manakala kanak-kanak dan pelajar perlu diajar mengenai bahaya lemas dan cara menghindarinya,” katanya

Kelmarin, bapa mangsa, Chong Kam Fei, 49, mendakwa anaknya bersama beberapa rakan dibiarkan tanpa pemantauan ketika belajar berenang di kolam Kompleks Sukan Likas.

Beliau turut mendakwa ketika anaknya dilihat tenggelam, beberapa rakannya terpaksa memanggil guru di kolam bersebelahan, namun hanya datang selepas tiga kali dipanggil untuk menyelamatkan mangsa. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *