Pelajar meninggal dunia semasa Temasya Sukan Tahunan

GAMBAR HIASAN

LABUAN – Seorang pelajar tingkatan empat rebah lalu tidak sedarkan diri, ketika mengambil bahagian dalam acara larian pada temasya sukan di padang Kolej Matrikulasi Labuan hari ini dan dia meninggal dunia beberapa minit selepas tiba di Hospital Nukleus Labuan.

Norsahfiza Jaratin, 16, pelari pecut bagi acara 200 meter (m) mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha, tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira 20m dari garisan penamat dalam temasya sukan tahunan itu.

Dalam insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 8.55 pagi, guru sekolah, Zaharah Mat Jali cuba memberi rawatan pertolongan cemas kepada pelajar terbabit, namun gagal.

“Seorang daripada guru sekolah itu segera menghubungi pihak ambulans, bagaimanapun pelajar itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” kata Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad kepada Bernama.

Pihak hospital belum mengesahkan sama ada Norsahfiza diserang sawan semasa perlumbaan itu dan kemudian mengalami jantung terhenti.

Laporan dibuat di balai polis Bebuloh oleh pengetua sekolah, Omar Baki Matusin pada pukul 11.28 pagi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *