Mati dikapak dalam masjid

Maslikin mati dikapak ketika bersolat di dalam masjid.

Bandung: Seorang lelaki maut dikapak kepala ketika solat Isyak berjemaah dalam sebuah masjid di Sumedang.

Kejadian berlaku Khamis lalu, ketika mangsa, Maslikin, 54, dalam Masjid Miftahul Falah, Sukasari, sebelum suspek datang dan menghentak kapak di kepalanya sebanyak dua kali.

Detik News melaporkan, ketika kejadian, ada lapan makmum bersolat bersama mangsa dan mereka memberhentikan solat selepas mangsa jatuh berlumuran darah.

Suspek dikenali sebagai Kurnaevi, sudah ditahan dan menurut polis, lelaki itu mengalami masalah gangguan jiwa dan mendakwa terdengar bisikan menyuruhnya membunuh mangsa.

“Suspek sudah tiba di masjid, namun dia pulang ke rumah untuk mengambil kapak sebelum menyerang mangsa,” kata Ketua Polis Sumedang, Hartoyo.

Suspek dikatakan pulang ke rumah untuk mengambil kapak itu selepas mendakwa terdengar suara memberitahu Maslikin menjalin hubungan dengan bekas isterinya.

Tribun News melaporkan, seorang saksi, Kurnia, 45, berkata, mangsa diserang ketika rakaat kedua.

“Jemaah terkejut ada orang jatuh dengan darah bersimbah lalu memberhentikan solat,” katanya.

Menurut Hartoyo, siasatan mendapati suspek menetak kepala mangsa dua kali dengan kapak.

Beliau berkata, suspek mengalami gangguan jiwa selepas bercerai dengan isterinya empat tahun lalu, dan perkara itu disahkan doktor yang pernah merawatnya.

“Berdasarkan keterangan doktor yang merawatnya, lelaki itu mengalami gangguan jiwa sejak empat tahun lalu selepas diceraikan isteri,” katanya.

Walaupun berada di bawah pengawasan doktor, suspek tidak melakukan pemeriksaan sebulan sekali seperti dijadualkan kerana tidak mampu menanggung kos perubatan. – Agensi

Maslikin mati dikapak ketika bersolat di dalam masjid.
Suspek dikenali sebagai Kurnaevi ditahan pihak berkuasa Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *