Kolam ikan ragut nyawa tiga beradik

Tiga beradik maut bersama selepas lemas semasa mandi di sebuah kolam ikan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Bintang Mas, di Beluran. – Foto ihsan Pembaca

BELURAN: Tiga beradik ‘pergi’ bersama akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam ikan di Kampung Bintang Mas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga kanak-kanak lelaki terbabit masing-masing berusia enam, lapan dan 10 tahun.

Difahamkan, tiga beradik itu bersama beberapa rakan yang lain mandi di kolam ikan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Bapa saudara mangsa, Muslimin Mohd Yahya, 32, berkata kanak-kanak itu sebenarnya tidak pernah mandi di kolam ikan terbabit.

“Kolam ikan milik orang lain itu sudah lama terbiar dan semak. Kami pun hairan kenapa mereka tiba-tiba mandi di sana.

“Ibu bapanya juga tidak tahu yang mereka mandi di sana bersama rakan dan tiba-tiba salah seorang rakan mangsa berlari ke rumah serta memaklumkan kepada bapa mangsa bahawa ketiga-tiganya lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muslimin berkata, bapa mangsa segera berlari ke lokasi kejadian dan mendapati ketiga-tiga anaknya sudah terapung di kolam berkenaan.

“Sebaik tiba, tiga beradik itu dilihat dalam keadaan terapung sebelum segera dibawa keluar dari kolam berkenaan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid.

“Bagaimanapun, ketiga-tiganya kemudian disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, kejadian itu memberi kejutan kepada mereka sekeluarga apatah lagi membabitkan tiga beradik sekali gus.

Kejadian ini bukan saja memberi kejutan kepada kami sekeluarga malah bagi kedua ibu bapa mangsa.

“Jenazah ketiga-tiga beradik ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pangiran, di Sungai Sapi,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *