Jelius puji kebangkitan Tambadau

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating memuji kesungguhan anak didiknya sehingga membolehkan skuad Tambadau menundukkan Terengganu FC II (TFCII) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya, walaupun memulakan perlawanan dengan hambar terutama di separuh masa pertama, pemain bangkit menunjukkan karektor sebenar di babak kedua dengan menguasai permainan.

“Pada perlawanan itu, kita lihat pemain begitu bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan walaupun sebelum itu kami ketinggalan, selain aksi hambar di separuh masa pertama.

“Bagaimanapun, pemain memberi respon yang sangat baik di babak kedua, permainan berubah dan kita menguasainya sehingga pihak lawan tidak punyai peluang untuk bangkit semula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada aksi malam tadi, Sabah bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam TFCII 3-1, sekali gus mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga selepas tiga perlawanan.

Ramzi Sufian meletakkan TFCII di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-39 namun skuad Tambadau meledak tiga gol di babak kedua menerusi Park Taesu di minit ke-50, Luka Milunovic (minit ke-64) dan Ricco Nigel Milus (minit ke-73).

Sementara itu, Jelius berkata, tindakan beberapa kelab penyokong yang berkempen untuk memboikot setiap aksi Sabah di Stadium Likas di sini, tidak menjejaskan pasukan itu.

“Sudah tentu kita mengharapkan penyokong datang tetapi jika mereka tidak datang, kita pun tak boleh memaksa, namun apa yang penting adakah mereka yang datang ke stadium itu bersungguh-sungguh menyokong kita atau tidak.

“Bagi yang memboikot, itu terpulang kepada mereka namun ia adalah perkara lain dan pasukan tidak terjejas dengan tindakan mereka,” katanya.

Sebelum aksi bertemu TFCII malam tadi, beberapa kelab penyokong pasukan itu berkempen di media sosial memboikot semua aksi Sabah di Stadium Likas.

Tindakan itu dipercayai kerana mereka tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan serta pembaharuan pentadbiran baharu Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diterajui pemangku Presidennya, Datuk Peter Anthony.

Bagaimanapun, lebih 2,000 penyokong setia pasukan itu tetap hadir bagi menyaksikan perlawanan bertemu TFCII, malam tadi. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *