Jalan utama DUN Kadamaian perlu dinaiktaraf

SIVARASA bersama Ewon Benedict (kanan) ketika melakukan lawatan Eko Pelancongan Kampung Telungan. FOTO KPLB SABAH

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berharap kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf jalan utama khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata undangan sudah dibuat kepada KPLB Persekutuan menerusi Timbalan Menterinya, R Sivarasa, yang turun padang ke DUN berkenaan bagi meninjau keperluan sebenar.

Katanya, ia bagi membolehkan jalan utama di DUN Kadamaian dimasukkan dalam senarai keutamaan pelaksanaan Pelan Pusingan Keempat (RP4) bagi tahun 2019 dan 2020 menerusi peruntukan KPLB Persekutuan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) 2016-2020.

“Timbalan Menteri KPLB Persekutuan bersama kita meninjau satu jalan utama di Kadamaian, iaitu Jalan Nahaba-Sayap sejauh lebih 10 kilometer (km).

“Lawatan kerja beliau adalah bagi melihat sendiri keperluan dan permohonan yang kita kemukakan bagi manfaat lebih 7,000 penduduk di kawasan mukim ini,” katanya selepas tinjauan itu, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, jalan berkenaan penting untuk dinaiktaraf kerana menjadi imej kepada industri pelancongan luar bandar Sabah.

Katanya, belasan ribu pelancong yang mengunjungi Kampung Talungan, Terintidon dan Sayap juga menyampaikan aduan berkaitan jalan raya itu.

“Saya yakin lawatan kerja bersama ini akan dapat merealisasikan impian kami di Kadamaian mendapat kemudahan jalan luar bandar yang lebih baik,” katanya.

Ewon berkata, sesi perbincangan akan dianjurkan oleh KPLB Sabah bagi meneliti input senarai keutamaan projek dalam RP4 membabitkan semua pegawai daerah, KPLB Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan agensi lain dalam masa terdekat.

Terdahulu, rombongan yang turut disertai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis, mengunjungi eko-pelancongan Kampung Talungan, Terintidon dan Sayap, antara lain bagi menilai keperluan menyenaraikannya sebagai keutamaan pelaksanaan.

Ewon mencadangkan kepada KPLB Persekutuan supaya Kampung Sayap dipilih bagi Program Desa Lestari kerana potensinya dalam sektor pelancongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *