Degupan jantung terhenti ketika memandu

SEORANG lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dipercayai selepas diserang sakit jantung di Jalan Perimeter Lama Tinosa, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Hussin Uttoh @ Utoh, 40, yang sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinosa Dua menuju ke Batu 7 Sandakan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terkena serangan jantung hingga menyebabkan MPV dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

“Akibat kejadian ini, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *