Sabah perlu galakkan China melabur – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 15 Feb – Sabah perlu menggalakkan China untuk melabur dalam sektor tertentu yang akan memberi mafaat kepada kedua-dua pihak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, di peringkat global China dilihat sebagai rakan perniagaan penting, dan perkongsian perlu berasaskan saling meraih manfaat dengan memihak kepada Sabah untuk memastikan pembangunan ekonomi serta meletakkan negeri di kedudukan strategik dalam arena antarabangsa abad ke-21 yang mencabar.

“Anda perlu mempertimbangkan lokasi strategik Sabah di rantau ini.

“Secara strategiknya, Sabah terletak hampir dengan China dan negara lain di rantau ini seperti Korea dan Jepun, serta kawasan pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina di samping di bahagian selatan dengan Australia dan Papua New Guinea,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina bersama Konsul Jeneral China di sini, malam ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

Mohd Shafie berkata semakin ramai rakyat China memilih Sabah sebagai destinasi percutian mereka.

Beliau berkata pelancong China memilih Sabah kerana tiada halangan bahasa selain makanan yang sedap, makanan laut yang murah dan banyak, matahari, laut dan pantai, serta satu lagi makanan istimewa yang banyak dicari iaitu sarang burung.

Beliau menekankan bahawa mana-mana dan semua pelaburan mesti mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Pekerjaan tersebut juga perlu relevan dalam abad ke-21 supaya penduduk tempatan tidak akan dipinggirkan oleh perubahan global yang disebabkan gangguan, terutama kemajuan teknologi yang pesat, katanya.

Sementara itu, Liang berkata mengikut perangkaan terbaru yang dikeluarkan Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah pelancong China yang melawat Sabah pada tahun lepas mencecah 593,600.

“Ini menunjukkan bahawa Sabah semakin popular di China, dan negeri ini menjadi antara tarikan pelancongan pilihan rakyat China. Pada masa sama, terdapat lebih ramai orang dari Sabah melawat China,” katanya.

Liang berkata tahun lepas, Konsulat Jeneral mengeluarkan lebih 31,000 visa, peningkatan 22 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata pada masa ini, jumlah penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke pelbagai bandar di China meningkat kepada 121 penerbangan seminggu, purata 17 penerbangan terus setiap hari antara China dan Sabah.

— BERNAMA

Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
Gambar Jabatan Penerangan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *