Mayat tinggal separuh badan dibaham buaya di Sungai Kinabatangan

Anggota bomba menemui mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Segaliud, Kinabatangan, dipercayai dibaham buaya. – Foto ihsan bomba

SANDAKAN: Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tragis dengan hanya separuh badan di Sungai Segaliud, semalam, disahkan mati akibat serangan buaya.

Identiti lelaki ditemui oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada jam 4.20 petang itu disahkan sebagai Kastelo Karlos, 40.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang itu keluar memancing di kawasan sungai bersendirian kelmarin, sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata menyedari mangsa tidak pulang ke rumah hingga jam 5 petang, keluarga mangsa keluar mencarinya di kawasan sungai berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa tidak ditemui dan ahli keluarga hanya menjumpai peralatan memancing, motosikal serta telefon bimbit miliknya.

“Pada hari berikutnya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh bomba, Pasukan Polis Marin (PPM) dan dibantu penduduk kampung.

“Bomba kemudian menemui mayat mangsa kira-kira empat kilometer dari lokasi motosikal dan peralatan memancing mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azhar berkata, berdasarkan kecederaan anggota badan, dipercayai mangsa dibaham buaya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Semalam, bomba menemui mayat mangsa hanya dari pinggang ke kaki dipercayai terputus dipercayai akibat serangan buaya. – Berita Harian

PASUKAN bomba dan polis mengangkat mayat lelaki yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Segaliud, Kinabatangan. – Foto ihsan bomba

Anggota bomba menemui mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Segaliud, Kinabatangan, dipercayai dibaham buaya. – Foto ihsan bomba



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *