Pemandu treler maut dihempap balak

PASUKAN bomba memeriksa keadaan treler yang terjunam ke dalam gaung di Jalan Bukit Layang-Layang, Tenom. – Foto ihsan bomba

TENOM: Seorang lelaki maut dihempap balak selepas treler muatan kayu dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 35 meter di Jalan Bukit Layang-Layang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 malam, mangsa yang hanya dikenali sebagai Dominic, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.28 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom bergegas ke lokasi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah treler muatan balak dipercayai terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 35 meter. Terdapat seorang mangsa lelaki dihempap muatan kayu balak.

“Pasukan bomba terpaksa mengorek tanah bagi mengeluarkan mangsa yang dihempap kayu balak berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam tadi.

Katanya, mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat ditamatkan jam 12.35 tengah malam. – Berita Harian

PASUKAN bomba memeriksa keadaan treler yang terjunam ke dalam gaung di Jalan Bukit Layang-Layang, Tenom. – Foto ihsan bomba

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *