Mangsa culik di Kinabatangan dalam keadaan baik

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah

SANDAKAN: Polis Sabah bekerjasama baik dengan pasukan keselamatan Filipina dalam usaha untuk mengesan mangsa yang diculik dari perairan Pegasus Reef di Kinabatangan, tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata berdasarkan maklumat diterima daripada pasukan keselamatan Filipina, semua mangsa berada dalam keadaan baik.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan setakat ini, polis tidak menerima sebarang panggilan daripada kumpulan penculik.

“Sebelum ini, seperti saya katakan dulu, keluarga seorang mangsa mendapat panggilan (daripada penculik) yang meminta bayaran RM4 juta.

“Kita bekerjasama baik dengan negara jiran. Mereka (pasukan keselamatan Filipina) sedang membantu kita untuk mengesan mangsa dan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Masyarakat dan Tinjauan Mesra Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di Bandar Kim Fung, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah, Tan Sri Andrew Liew.

Pada 6 Disember lalu, tiga nelayan termasuk seorang tempatan iaitu Jari Abdullah, 34, serta dua lagi nelayan warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang daripada bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Dalam kejadian itu, tiga nelayan terbabit dilaporkan hilang selepas sebuah bot nelayan ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mangsa dan disahkan diculik selepas seorang isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke sebuah tempat tidak diketahui di Filipina.

Terdahulu, ketika berucap, Omar meminta orang awam agar tidak menyalahgunakan kuasa menangkap dengan mencederakan orang awam yang ditangkap apabila melakukan kesalahan jenayah di depan mereka, sebaliknya menyerahkan terus penjenayah kepada polis.

Katanya, kuasa tangkapan yang diperuntukkan kepada orang awam terkandung dalam Seksyen 11, 13, 14, 15, 16, 24, dan 27 Kanun Prosedur Jenayah.

“Nasihat saya orang awam boleh menangkap, namun jangan melakukan sesuatu yang boleh cederakan orang awam hingga mengakibatkan mereka ditangkap, disiasat dan didakwa di mahkamah,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *