Juragan tempatan ditahan seludup minyak, gula, tepung ke Indonesia

Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm

TAWAU, 15 Feb – Tindakan juragan tempatan menyeludup keluar minyak masak, gula dan tepung untuk pasaran di Indonesia membawa padah apabila bot dikendalikannya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Saima dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan bot peronda yang menjalankan Op Pluto Timur pada 1.15 tengah hari selepas menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti seludup antara Sungai Logpond ke Sungai Melayu Sebatik.

“Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan 170 paket minyak masak, 200 paket tepung gandum serta 240 paket gula prai dan juragan gagal menunjukkan dokumen atau surat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, juragan tersebut turut membawa dua penumpang warga Indonesia masing-masing seorang lelaki dan wanita berumur 42 dan 44 tahun.

“Kedua-duanya memiliki dokumen pasport yang sah,” katanya lagi.

Ekoran itu, Mohd Yusri berkata pihaknya menahan juragan bot serta merampas barangan bernilai RM21,500 termasuk bot jongkong dan ditunda masuk ke jeti maritim di Tawau bagi tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, beliau turut memohon kerjasama masyarakat agar menyalurkan maklumat lengkap atau aduan kepada Maritim Malaysia sekiranya mengetahui kejadian kecemasan dan aktiviti jenayah di laut dengan menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia Tawau di 089-752115.

— BERNAMA

Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm
Gambar Facebook Pages BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *