Mangsa kebakaran di Pulau Banggi dapat gantian dokumen pengenalan

PULAU BANGGI, 14 Feb – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menyerahkan 37 gantian dokumen pengenalan diri kepada mangsa yang terlibat dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat 13 Jan lepas.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata 14 dokumen berkenaan merupakan Cabutan Sijil Lahir, gantian Mykad sebanyak 13 orang dan 10 lagi merupakan gantian Mykid.

“Penyerahan gantian dokumen pengenalan diri ini merupakan salah satu program turun padang yang dilaksanakan oleh pihak JPN Sabah untuk membantu memudahkan proses membuat gantian dokumen pengenalan diri mangsa yang terlibat dalam bencana.

“Kita tahu banyak kesukaran yang dialami mangsa untuk membuat gantian dokumen pengenalan diri kerana beberapa faktor termasuk jarak yang jauh dari pejabat JPN. Oleh itu kita telah mengambil inisiatif ini untuk membantu mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan gantian dokumen pengenalan diri itu kepada mangsa di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Mohamad Mohamarin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Banggi dan Pengarah JPN Sabah, Datuk Ismail Ahmad.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 2.30 petang 13 Jan lepas itu memusnahkan 81 rumah dan seramai 303 mangsa terlibat, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mohammad Razin berkata hanya 37 gantian dokumen pengenalan diri diserahkan pada majlis itu kerana mangsa lain telah mengambil inisitif sendiri untuk datang ke pejabat JPN membuat urusan berkenaan, selain terdapat juga mangsa yang tidak kehilangan dokumen semasa kebakaran berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan agar pelbagai pihak tidak mengaitkan penyerahan gantian dokumen pengenalan diri itu dengan pemberian dokumen kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Saya sering kali mengingatkan agar orang ramai tidak salah faham dengan program seperti ini kerana ini adalah program menggantikan dokumen pengenalan diri dan bukannya pengeluaran kad pengenalan baharu kepada mereka yang tidak layak,” tegasnya.

Sementara itu, Mohammad Razin berkata pihaknya akan terus melaksanakan program turun padang melalui Program Mobile Ehsan untuk membantu penduduk yang layak mendapat taraf warganegara mendapatkan kad pengenalan atau sijil lahir.

“Kita memahami masalah atau isu yang dihadapi oleh penduduk yang tingal di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak. Mereka sukar untuk ke pejabat JPN untuk mendaftarkan kelahiran atas beberapa faktor termasuk jarak yang jauh dan kurangnya sistem perhubungan.

“Oleh sebab atas kesedaran itu kita melaksanakan program turun padang iaitu sebahagian daripada sistem penyampaian kita selaras dengan aspirasi kerajaan yang mahukan perkhidmatan agensi kerajaan menyeluruh dan sampai kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin masyarakat dan pihak sekolah sama-sama membantu mendapatkan maklumat agar program ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita juga membuat program berskala iaitu sebulan sekali di beberapa kawasan seperti di Pulau Banggi ini untuk membantu mendaftarkan kelahiran baharu atau daftar kelahiran lewat. Kita tidak mahu anak-anak di kawasan ini mendapat masalah di kemudian hari seperti tidak mendapat pendidikan di peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu saya berharap ibu bapa juga memandang serius perkara ini demi masa depan anak-anak,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *