Kebebasan tubuh parti selaras amalan demokrasi negara – PBS

SANDAKAN – Kebebasan menubuhkan parti atau persatuan, yang memenuhi perundangan pendaftaran pertubuhan, adalah selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ketika mengulas kemungkinan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini termasuk kebebasan parti atau persatuan berkenaan untuk membuka cawangan di peringkat negeri, termasuk di Sabah, jika diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Bagi kami (PBS), ini di luar bidang kami (mengulas mengenai kemungkinan kemasukan Bersatu ke Sabah). Kami hanya menjadi pemerhati dalam perkara ini.

“Saya hanya boleh katakan bahawa di negara ini, bebas untuk mengamalkan persatuan dan bebas  menubuhkan cawangan jika diluluskan oleh pihak ROS,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina PBS Sandakan di sini hari ini.

Minggu lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berharap Bersatu mengotakan janjinya untuk tidak melebarkan sayap ke negeri ini kerana tiada keperluan untuk parti pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berada di Sabah berikutan kewujudan Warisan.

Walaupun tiada halangan untuk mana-mana parti luar Sabah membuka cawangan di negeri ini, Ongkili berpendapat pentadbiran negeri lebih sesuai diterajui oleh parti tempatan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *