Kanak-kanak tiada kerakyatan akan disuntik

KERAJAAN Sabah mempertimbangkan untuk memberi vaksin kepada semua kanak-kanak termasuk yang tiada kerakyatan bagi mengelak penularan wabak berbahaya.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong berkata, langkah pencegahan meningkatkan imuniti kelompok itu masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan.

“Apabila kita bercakap mengenai kanak-kanak tiada kerakyatan yang mana ada penyakit, mereka boleh memindahkan kepada rakyat kita.

“Sehubungan itu, kita akan membincangkannya dengan Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman sesawang kementerian itu dan sambutan Tahun Baharu Cina di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah pencegahan diambil kerajaan negeri susulan penularan wabak demam campak di Filipina apabila lebih 4,000 kes dan 70 kematian dilaporkan setakat ini.

Susulan wabak itu, Jabatan Kesihatan Sabah akan melakukan aktiviti imunisasi tambahan kepada komuniti.

Sehingga 9 Februari lalu, Sabah mencatatkan tiga kes demam campak membabitkan kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi berusia setahun hingga enam tahun dengan dua daripadanya adalah warga asing.

Sepanjang tahun lalu, Sabah merekodkan 73 kes demam campak dengan satu kematian, iaitu hanya 15 peratus daripada mereka disuntik dengan kes paling banyak dilaporkan ialah di Kudat iaitu 30, diikuti Semporna (21) manakala Kota Kinabalu dan Tawau, masing-masing empat kes.

Terdahulu, Wong berkata, laman sesawang www.kkkr.sabah.gov.my adalah platform untuk berinteraksi dan berkongsi maklumat yang tepat dengan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *