Tidak Mampu Bayar Tambang Kapal Terbang, Keluarga Usung Jenazah Sejauh 60 Kilometer

Petikan video menunjukkan penduduk mengsung jenazah wanita untuk dibawa pulang ke kampungnya di Desa Tedeboe, daerah Rampi, Sulawesi Selatan

MAKASAR: Satu keluarga di Luwu Utara, Sulawesi Selatan, dekat sini, terpaksa mengusung jenazah seorang wanita sejauh 60 kilometer merentasi hutan selama 14 jam untuk dikebumikan di kampung mereka yang terletak di kawasan terpencil berikutan tiada jalan boleh dilalui kenderaan beroda empat.

Menurut laporan Tribun News, wanita dikenali sebagai Ranti Tanta itu, meninggal dunia di Hospital Andi Djemma Masamba di Luwu Utara, pada 6 Februari lalu.

Rakaman video yang menunjukkan jenazah Ranti diusung sekumpulan lelaki melalui kawasan hutan sejauh 60 kilometer, tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut laporan itu, keluarga Ranti berdepan kesulitan membawa jenazah wanita itu pulang ke kampung mereka di Desa Tedeboe, daerah Rampi, kerana tiada kemudahan jalan raya.

Satu-satunya perhubungan ke daerah itu ialah dengan menyewa pesawat kecil, namun keluarga Ranti tidak mampu.

Berikutan tiada pilihan, keluarga Ranti yang dibantu beberapa penduduk kampung mengambil keputusan mengusung jenazah dengan berjalan kaki.

Pada mulanya, jenazah Ranti dibawa menaiki ambulans selama lapan jam ke Desa Bada, Poso di Sulawesi Tengah sebelum diusung dengan berjalan kaki ke Desa Tedeboe.

Seorang penduduk, Darto Dasinga berkata, perjalanan itu mengambil masa 14 jam dan mereka berjalan tanpa henti.

“Kami bergilir-gilir mengusung jenazah melalui hutan tebal, gunung dan celahan batu serta tebing untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Penduduk Roy Pathibang yang membuat rakaman video berkenaan memberitahu, kejadian mengusung jenazah itu bukan kali pertama berlaku di kampung itu.

“Seingat saya hampir 10 kali kami mengusung jenazah pulang ke kampung kerana tiada jalan raya.

“Kami di Rampi kurang tersentuh dengan pembangunan. Penduduk juga menganggap mereka masih belum merdeka kerana tidak mendapat perhatian kerajaan,” katanya. – Agensi

Petikan video menunjukkan penduduk mengsung jenazah wanita untuk dibawa pulang ke kampungnya di Desa Tedeboe, daerah Rampi, Sulawesi Selatan
Petikan video menunjukkan penduduk mengsung jenazah wanita untuk dibawa pulang ke kampungnya di Desa Tedeboe, daerah Rampi, Sulawesi Selatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *