Sabah tawar 20 biasiswa ke universiti ternama dunia

MENTERI Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob ketika sidang media pada Majlis Anugerah Kualiti 2018 dan Pelancaran Program Transformasi Sekolah (TS25) 3.0 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

PUTATAN: Seramai 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sabah bakal ditawarkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke universiti bertaraf dunia, mulai tahun ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata kementeriannya akan memilih pelajar yang layak dari seluruh negeri berdasarkan pencapaian masing-masing.

Katanya, pelajar yang layak akan dipanggil menjalani ujian khas sebelum pemilihan dibuat berdasarkan keputusan ujian berkenaan dengan 20 tempat ditawarkan kepada mereka yang lulus.

“Pendekatan ini pertama kali dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar berkelayakan dari Sabah melanjutkan pengajian ke universiti ternama dunia, sejajar usaha melahirkan graduan bertaraf antarabangsa.

“Sasaran kita ialah apabila selesai pengajian, mereka boleh menyumbang sebagai golongan pemikir di Sabah atau bekerja di syarikat besar antarabangsa seperti syarikat minyak dan gas sebagai wakil Sabah dalam hubungan kita dengan pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kualiti 2018 dan Pelancaran Program Transformasi Sekolah (TS25) 3.0 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penolong Pengarah Pengurusan Projek Khas, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan negeri, Kassim Ali Ahmad; Pengetua Cemerlang SMK Tansau, Siti Salmiah Samaie dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tansau, Buang @ Mohamad Mat Noh.

Dr Yusof berkata, antara universiti bagi melanjutkan pengajian menerusi biasiswa itu ialah Universiti Cambridge, Oxford di United Kingdom dan Universiti Nasional Singapura.

Selain pelajar cemerlang, katanya, kementeriannya menyediakan program bagi membantu pelajar kurang cemerlang membina potensi diri menerusi bidang kemahiran yang boleh menjana pendapatan lumayan.

“Contohnya dalam bidang kimpalan, jika ada kemahiran, pendapatan boleh mencapai hingga RM60,000 sebulan khususnya mereka yang mahir dalam kimpalan di bawah laut,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi membantu 250 pelajar daripada keluarga miskin dalam akademik dan kemahiran sehingga berjaya mendapat pekerjaan sebagai langkah mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Yusof menyampaikan beberapa anugerah kepada guru SMK Tansau atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada sekolah sepanjang tahun lalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *