Lelaki ditetak bekas suami isterinya kerana cemburu

SUSPEK ditahan polis selepas menetak kepala mangsa dalam kejadian di ladang kelapa sawit, Felda Sahabat 56, di Lahad Datu. – Foto Ihsan Polis.

LAHAD DATU: Seorang lelaki menerima tujuh jahitan di kepala selepas ditetak bekas suami isterinya kerana cemburu mangsa menikahi wanita terbabit dalam kejadian ladang kelapa sawit, FELDA Sahabat 56, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa Kasim Martin, 30, dikatakan sedang makan di kawasan tempatnya bekerja lalu didatangi suspek sambil membawa sebilah parang.

Lelaki berkenaan kemudian menyerang dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum dileraikan oleh beberapa pekerja di ladang berkenaan.

Mangsa yang cedera di kepala dan tangan kanan kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat 16 manakala suspek ditahan oleh pekerja di ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera ke lokasi kejadian dan menahan lelaki terbabit.

“Anggota polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian. Mangsa yang dirawat menerima tujuh jahitan di kepala selain luka di bahagian tangan kanan.

“Siasatan mendapati punca kejadian itu disebabkan suspek cemburu dengan mangsa yang berkahwin dengan bekas isterinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

Difahamkan, suspek dan bekas isterinya berkahwin lima tahun lalu, namun bercerai pada Julai tahun lalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *