Guru maut kereta dirempuh

Kereta yang dipandu Arbayah berlanggar dengan kenderaan lain di Kilometer 12, Jalan Semporna-Tawau. Foto Ihsan Pembaca

GURU wanita, Arbayah Johan, 54, maut selepas kereta Proton Iswara Aeroback dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau, Semporna, pagi hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 8.20 pagi itu, Arbayah Johan, 54, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lihak-Lihak, Semporna, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Anak Umbuas berkata, kenderaan mangsa dalam perjalanan dari arah Semporna ke Tawau itu bertembung dengan Proton Saga dipandu lelaki warga asing dari arah bertentangan.

Katanya, pemandu Proton Saga berusia 36 tahun yang tidak memiliki lesen memandu dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun gagal lalu bertembung dengan kereta guru berkenaan.

“Berikutan itu, kereta mangsa remuk pada bahagian depan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Saga patah tangan kanan dan kaki kanan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *