APMM sekat aktiviti bom ikan di perairan Semporna

SEMPORNA, 12 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyekat aktiviti dua lelaki mengebom ikan di perairan Tanjung Tabu-Tabu dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata bot peronda yang menjalankan tugasan rutin terserempak bot pam mencurigakan dinaiki dua lelaki pada pukul 3.35 petang sebelum bot memecut laju ke kawasan paya bakau dan suspek meloloskan diri.

“Tiada tangkapan dilakukan namun pemeriksaan ke atas bot pam menemui lima kilogram ikan disyaki di bom,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norrimi berkata pada tahun lepas tiga kes bom ikan digagalkan di Zon Maritim Semporna serta satu kes pada tahun 2015.

Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Sementara itu, Norrimi memohon kerjasama semua pihak tidak takut menyalurkan maklumat serta aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *