WARISAN Yakin PPBM Tidak Akan Bertapak Di Sabah – Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan pendiriannya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Menurut Mohd Shafie, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed tentang kedudukan Sabah dan (PPBM) akan mengotakan janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya sudah berjumpa dengan beliau dan saya maklumkan tentang kedudukan kita serta perkara terbaik adalah mengotakan janji seperti yang kita telah bermuafakat sebelum pilihan raya.

“Begitu juga keadaannya selepas pilihan raya. Kita berharap agar PPBM tidak masuk ke Sabah,” katanya selepas merasmikan Majlis Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru di Hotel di sini hari ini.

Semalam Dr Mahathir menyatakan bahawa kemasukan PPBM ke Sabah belum dimuktamadkan lagi oleh pimpinan parti itu.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata PPBM dan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah seperti adik-beradik dalam kerjasama membentuk kerajaan.

“Tiada bezanya. Jadi kehadiran Warisan di sini sama seperti PPBM. Cuma perbezaannya adalah kita mengetengahkan kepelbagaian kaum manakala PPBM bukan berbagai kaum. Mereka hanya bumiputera,” katanya.

Tambah beliau lagi kerajaan juga sedar sokongan terhadap Warisan ramai dari Pantai Barat hingga ke Pantai Timur iaitu golongan bumiputera.

Tetapi, jelasnya itu tidak bererti bukan bumiputera tidak menyokong mereka dalam membentuk kerajaan baharu serta menegaskan bahawa tiada sebab PPBM untuk bertapak di Sabah.

“Kita sebagai sebuah negeri yang stabil dengan 45 daripada 60 kerusi di Sabah Saya harap bolehlah teruskan dengan kerajaan yang kita ada sekarang ini,” katanya. – SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/warisan-yakin-ppbm-tidak-akan-bertapak-di-sabah-mohd-shafie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *