Tiga Bersaudara Positif Dadah Ditahan Dalam Ops Cegah AADK

Suspek yang ditahan semasa Ops Cegah AADK. – Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

TAMBUNAN: Tiga bersaudara antara yang ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau dalam Ops Cegah di dua buah kampung di daerah itu hari ini.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata ketiga-tiga suspek itu adalah seorang lelaki berumur 20 tahun ditahan bersama bapanya, 44, dan ibu saudaranya yang berumur 41 tahun.

Menurut Azry, pelbagai cara telah dilakukan oleh dua beranak tersebut untuk cuba mengelakkan diri daripada dicekup oleh pasukan serbuan AADK Keningau.

Suspek wanita berumur 41 tahun turut ditahan AADK dalam Ops Cegah. – Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

“Bapa dan anak masing-masing bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian serta bersembunyi di bawah katil rumah mereka.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka berjaya dicekup hasil daripada pemeriksaan menyeluruh yang telah dibuat pada setiap bilik di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azry berkata hasil siasatan ke atas kedua-duanya itu membawa kepada penahanan seorang wanita yang berstatus ibu saudara dan seorang lelaki di lokasi berlainan dipercayai turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tambah beliau lagi kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Katanya ujian saringan awal mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine ataupun syabu.

Dalam pada itu katanya lagi tiga suspek lelaki lain ditahan dalam satu operasi berasingan pada hari yang sama.

“Semasa Operasi Sekatan Jalan Raya yang dijalankan secara bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan di Keningau turut berjaya menahan tiga lelaki yang positif dalam ujian saringan dadah,” katanya. – SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/tiga-bersaudara-positif-dadah-ditahan-dalam-ops-cegah-aadk/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *