Rezeki ribuan anak ikan naik ke darat

Sedutan Vide Berkenaan

TAWAU: Kehadiran ribuan anak ikan tamban yang muncul secara tiba-tiba dan ada meloncat masuk ke dalam bot di Pelabuhan Tawau dekat sini, Sabtu lalu, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna laman sosial selepas video kejadian itu viral di Facebook.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 3 petang itu dianggap perkara biasa oleh nelayan dan bukan petanda akan berlaku bencana alam seperti tsunami.

Nelayan, Sarudin Saha, 40, ketika ditemui berkata, kejadian itu bukan kali pertama dilihatnya sejak mencari rezeki sebagai nelayan di perairan daerah ini lebih 20 tahun lalu.

“Sejak tahun 90-an lagi saya kerja menangkap ikan di laut dan banyak kali saya berdepan fenomena seperti itu. Cuma bezanya ketika itu, kami (nelayan) tidak ada telefon bimbit untuk merakam gambar atau video seperti hari ini.

“Orang ramai tidak perlu risau atau takut kerana kejadian anak ikan tamban yang muncul dan memasuki bot di Pelabuhan Tawau adalah fenomena biasa,” katanya.

Sarudin berkata, walaupun jarang berlaku, nelayan menganggap kehadiran ribuan anak ikan tamban itu sebagai rezeki tambahan untuk keluarga.

“Bayangkan, kami (nelayan) hanya perlu bersauh di mana-mana kawasan (perairan berhampiran Pelabuhan Tawau) sementara menunggu perahu dipenuhi ikan yang melompat masuk ke dalam dengan sendirinya,” katanya.

Rakannya, Kamal Abdullah, 40, pula berkata fenomena ikan naik ke darat itu bagaimanapun bermusim walaupun bukan setiap tahun berlaku.

“Kami pun tidak tahu punca sebenar anak-anak ikan yang begitu banyak muncul secara tiba-tiba. Hasil memang cukup banyak walaupun harganya sedikit murah berbanding ikan jenis lain yang dijual di pasar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim, berkata fenomena anak ikan tamban ‘melompat’ keluar ke permukaan air adalah perkara biasa dan pernah berlaku di kawasan perairan Tambisan di Lahad Datu pada tahun 2013.

Katanya, sifat ikan tamban adalah bergerak secara berkumpulan dalam jumlah yang banyak menarik perhatian ikan pemangsa lebih besar seperti ikan putih, tenggiri dan titir.

“Ada dua perkara yang boleh dikaitkan dengan fenomena itu, antaranya mungkin disebabkan, ikan-ikan berkenaan cuba melarikan diri dari dikejar ikan pemangsa. Faktor kedua kemungkinan ikan-ikan berkenaan cuba keluar daripada arus laut yang deras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar berkata, mengambil contoh kejadian di Pelabuhan Tawau, ikan berkenaan mungkin berada di laluan sempit menyebabkannya terpaksa melompat keluar ‘menyelamatkan diri’. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *