Enam lelaki Tempatan ditahan terbabit jenayah samun di Menggatal

SEKADAR GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes samun seorang pekerja kilang perabot, menerusi tiga serbuan berasingan di kawasan Menggatal, di sini, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata semua suspek berusia 19 hingga 39 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Pada jam 4.25 pagi, Khamis lalu, mangsa yang dalam keadaan mabuk hendak menaiki keretanya di kawasan Menggatal sebelum didatangi beberapa orang lelaki yang kemudian memukul mangsa sehingga pengsan.

“Mangsa kemudian dibawa ke satu lokasi sebelum beg mengandungi wang tunai RM8,000 dan telefon bimbitnya dilarikan oleh suspek. Mangsa kemudian meminta tolong daripada orang awam untuk menghubungi pihak polis,” katanya di sini, hari ini.

George berkata, mangsa yang cedera pada kepala kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

“Susulan kejadian itu, pada jam 10.30 malam hari sama, polis menahan seorang lelaki di sebuah restoran di CKS Menggatal, di sini, kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Hasil soal siasat ke atas suspek itu, keesokannya polis menahan lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun berkenaan di kawasan Kampung Darau, Menggatal.

“Polis turut merampas beberapa barang yang disyaki hasil samun termasuk wang tunai berjumlah RM214,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati wang tunai yang dilarikan suspek bernilai RM8,000 adalah wang untuk membeli barangan bagi membuat perabot dan wang gaji mangsa.

“Siasatan masih dijalankan dan mendapati empat daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi kenderaan. Hasil saringan air kencing, semua suspek positif syabu.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *