‘Tolonglah selamatkan suami saya’

Nadin Junianti merayu pasukan keselamatan segera menyelamatkan suaminya, Jari Abdullah (gambar kecil).

SANDAKAN: Isteri nelayan tempatan yang diculik di perairan Pegasus Reef dekat Kinabatangan pada Disember lalu, merayu pasukan keselamatan segera menyelamatkan suaminya.

Mendakwa dihubungi penculik pagi ini, Nadin Junianti Najiri, 25, berkata, kumpulan terbabit memaklumkan tiada wakil kerajaan Malaysia menghubungi mereka untuk berunding mengenai suaminya, Jari Abdullah, 34, sehingga ke hari ini.

Katanya, pihak penculik yang kurang lancar berbahasa Melayu juga mengugut suaminya akan berada dalam keadaan ‘susah’ jika tiada rundingan dengan kerajaan Malaysia.

“Ini kali kedua kami dihubungi pihak penculik. Mereka cakap, dia (Jari) sekarang ‘susah’ sebab orang di sana (kumpulan penculik) sudah marah.

“Kami tidak tahu mahu ke mana (mengadu), mahu buat apa. Tolonglah kami selamatkan dia (Jari),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nadin Junianti turut mendakwa kumpulan penculik yang menghubunginya ada meminta nombor telefon wartawan tempatan dari Sabah.

Pada 6 Disember lalu, Jari bersama dua lagi nelayan warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang daripada bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Dalam kejadian itu, tiga nelayan terbabit dilaporkan hilang selepas sebuah bot nelayan ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mangsa dan disahkan diculik selepas seorang dari isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke sebuah tempat tidak diketahui di Filipina.

Pada 5 Disember lalu, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 kru warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Tekong bot, Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, ketika dihubungi berkata, pasukan keselamatan Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Filipina dalam usaha menyelamatkan mangsa. – Berita Harian

Nadin Junianti bersama anak-anaknya dan ibu mertuanya, Zuana Laudianto (kanan) di rumah mereka di Kampung Bukit Sim-Sim Sawmill hari ini. – Astro AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *