Sabah perlu pinda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar

Tiga suspek warga asing ditahan Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) selepas disyaki menangkap dan membunuh penyu di kawasan perairan Pulau Ligitan, di Semporna. – Ihsan Angkatan Tugas Bersama 2

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah disaran meminda Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 supaya kegiatan membunuh haiwan yang dilindungi sepenuhnya sebagai kesalahan liabiliti ketat dan hukuman juga perlu ditingkatkan.

Aktivis haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan itu sebagai usaha melindungi haiwan dan spesies terancam memandangkan undang-undang sedia mempunyai beberapa kelemahan.

Katanya, banyak pihak turut menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kawasan popular aktiviti menyelam di Semporna, kini bertukar menjadi kawasan pembunuhan penyu, malah turut dilaporkan jumlah bangkai haiwan itu juga semakin kerap ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berharap kerajaan dapat mengkaji undang-undang sedia ada dan memperkemaskannya. Hukuman juga harus ditingkatkan bagi menjadi pengajaran kepada penduduk tempatan dan warga asing.

“Agensi penguatkuasaan juga perlu meningkatkan kerjasama dalam kalangan mereka serta menubuhkan pasukan anti penyeludupan penyu yang mampu membendung kegiatan haram seperti pemburuan dan perdagangan penyu.

“Saya percaya undang-undang yang ketat serta peningkatan aspek pendidikan dan kesedaran awam dapat membantu melindungi spesies dilindungi yang semakin terancam sejak beberapa dekad ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Lam Thye turut menegaskan tindakan segera harus diambil bagi melindungi spesies penyu yang diancam kepupusan dalam usaha melumpuhkan pasaran gelap.

“Di Sabah, penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1996 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Walau bagaimanapun, permintaan tinggi untuk daging penyu dan cangkerang di pasaran gelap antarabangsa serta keluasan kawasan perairan Sabah menyukarkan pengawasan dan penguatkuasaan untuk mengekang kegiatan pemburu haram.

“Justeru itu, ada keperluan untuk menyeragamkan undang-undang bagi melindungi penyu di seluruh negara memandangkan negeri yang menguatkuasakan peraturan ini gagal mengekang aktiviti haram sekali gus mengancam kehidupan penyu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *