Lelaki Cuba Palsukan Air Kencing Dalam Operasi Bersepadu Ditahan

Anggota AADK dan JPJ Tuaran melakukan sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Stesen Penguatkuasa JPJ Telipok. – Gambar SNT/ Ehsan AADK Tuaran

TUARAN: Cubaan seorang lelaki memalsukan air kencing bagi mengelak ditahan gagal apabila tindakannya berjaya dihidu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut melakukan tindakan sama sebanyak dua kali namun semua perbuatan berkenaan tidak berhasil sehingga akhirnya suspek terpaksa memberikan air kencing miliknya untuk diperiksa.

Anggota AADK menjalankan ujian air kencing ke atas beberapa individu yang ditahan dalam operasi bersepadu. – Gambar SNT / Ehsan AADK Tuaran

Ketua Pegawai AADK Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata mulanya suspek mengambil air longkang yang berisi pasir untuk dimasukkan ke dalam botol disediakan tetapi berjaya dilihat anggota AADK bertugas.

“Cubaan kedua suspek pula lelaki terbabit memasukkan air paip dengan tujuan mahu mengaburi pihak AADK dan melepaskan diri daripada sekatan jalan raya dilaksanakan JPJ.

Antara individu yang ditahan dalam operasi bersepadu AADK dan JPJ Tuaran. – Gambar SNT / Ehsan AADK Tuaran

“Bagaimanapun, semua percubaan lelaki ini dapat dipatahkan sebelum dia menyerahkan air kencing miliknya untuk menjalani ujian saringan. Suspek disahkan positif dadah jenis syabu dan terus ditahan untuk siastan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asraf Hafiz berkata suspek terbabit adalah antara 10 individu yang ditahan pihak AADK Tuaran berikutan disahkan positif dadah jenis syabu sepanjang operasi yang berlangsung selama dua jam di Stesen Penguatkuasa JPJ Telipok.

Anggota AADK dan JPJ Tuaran melakukan sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Stesen Penguatkuasa JPJ Telipok. – Gambar SNT/ Ehsan AADK Tuaran

Menurut beliau, sembilan individu lain berumur antara 18 hingga 41 tahun termasuklah adik-beradik berusia 34 dan 29 tahun yang berasal daripada Tuaran.

Asraf Hafiz berkata semua suspek lain turut disahkan positif dadah jenis syabu dan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara itu, beliau menyatakan operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena perayaan Tahun Baru Cina.  

“Pihak AADK Tuaran akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan penagihan dadah di daerah ini.

“Kita juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Tuaran ditalian 088 788336 atau tampil ke pejabat AADK berhampiran,” katanya. – SabahNews Today

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/lelaki-cuba-palsukan-air-kencing-dalam-operasi-bersepadu-ditahan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *