Boleh tanam pokok ganja kalau dapat kebenaran

Pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, jika memperoleh kebenaran daripada Menteri Kesihatan. – Foto hiasan

KUANTAN: Pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, jika memperoleh kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan ruang bagi penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

“Baru-baru ini saya ada baca di akhbar mengenai (kejayaan) rakyat Malaysia menghasilkan minyak ganja, jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul dan boleh dilakukan (kajian) di dalam negara.

“Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya 1952, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan… sebab itu, penting untuk dapatkan kelulusan Menteri Kesihatan terlebih dahulu, sebelum ia boleh dihasilkan bagi tujuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi AADK Pahang Bersama Rakan Pintar dan Rakan Strategik di sini, malam tadi.

Kisah kejayaan tiga rakyat Malaysia yang berjaya menghasilkan Minyak CBD (Cannabidiol) daripada Cannabis Sativa dan menetap di United Kingdom itu mendapat perhatian media tempatan pada Jun tahun lalu.

Syarikat itu diasaskan sepasang suami isteri, Abdul Halim Pauzi dan Nurul Ain Sahbudin, serta rakan mereka, Mohd Roslan Abdullah yang sudah 15 tahun menetap di negara berkenaan bukan sahaja melakukan kajian mengenai keberkesanan minyak ganja dalam perubatan, bahkan turut memperoleh lesen bagi memasarkan produk dihasilkan di 50 negara lain di Kesatuan Eropah.

Zulkifli berkata, sekiranya pokok ganja itu mampu memberikan kemujaraban daripada aspek perubatan, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu dan penanaman pokok ganja itu dijalankan dengan betul serta mengikut peruntukan undang-undang.

“Pokok ini tidak boleh tanam bersepah-sepah. Sebab itu, kita kena kawal sebaiknya, malah sesetengah negara sudah ada aktiviti penanaman sebegini.

“Mungkin satu hari nanti, jika Malaysia ada bahan sebegitu, mungkin kita boleh menjadi pengeksport tetapi mengikut undang-undang.

“Sebab itu penting kalau betul ganja ini ubat, Kementerian Kesihatan kena mengesahkan sebab mereka adalah pihak yang mempunyai kuasa mengesahkannya,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, ibu bapa atau penjaga remaja yang bermasalah berkaitan dadah diwajibkan mengikuti sesi kaunseling dalam undang-undang baharu yang akan digubal bagi menangani masalah dadah di peringkat awal.

“Dengan ada sesi kaunseling kita dapat mengenal pasti masalah dialami, seterusnya cuba menyelesaikannya secara konsisten, kerana kita percaya pencegahan terbaik bermula di rumah. Kita mahu ibu bapa tidak lepas tangan terhadap masalah dihadapi anak mereka,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *