Menteri, Wakil Rakyat Sabah Terlibat Rasuah, Tidak Dicalon Semula PRU

SEMPORNA, 8 Feb – Menteri dalam kabinet negeri mahupun wakil rakyat di Sabah yang didapati terbabit rasuah dan penyelewengan akan digugurkan dan tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata tindakan itu disifatkan bersesuaian dan penting kerana keutamaan kerajaan negeri adalah menjaga rakyat.

“Jangan ada menteri saya, YB (Yang Berhormat) atau pegawai kerajaan terlibat dengan rasuah.

“Kalau ada yang terlibat (rasuah), pada PRU akan datang, saya akan tukar mereka, kita perlu ubah (cara) pemerintahan (tidak terikut pemerintahan lama),” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama komuniti Cina di sini.

Mohd Shafie berkata pelbagai rancangan sedang dilaksanakan dan hasilnya akan mengambil sedikit masa dan rakyat perlu bersabar.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, beliau berkata kerajaan negeri kini dalam usaha meningkatkan penyertaan dan kerjasama rapat dengan Petronas agar industri hiliran minyak dan gas dapat dimanfaatkan kerajaan negeri.

“Saya akan bincang dengan Petronas, kita banyak industri huluan minyak dan gas di negeri ini tetapi kita tidak mampu melibatkan diri.

“Namun saya percaya bagi industri hiliran kita boleh lakukan kerana kita miliki prasarana misalnya Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogit) serta Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC),” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, transformasi tadbir urus kerajaan negeri mula menunjukkan keberkesanan, misalnya Jabatan Air Sabah yang berjaya mengumpul hasil sehingga kini berjumlah RM260 juta. Hasil berkenaan akan dipulangkan semula kepada rakyat dengan cara menyelesaikan masalah air dihadapi penduduk Sabah.

“Kita bagi selesai masalah air di Bugaya, Kuala Penyu, Tuaran dan banyak lagi tempat yang tidak cukup bekalan air,” katanya.

Majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama komuniti Cina itu dihadiri kira-kira 1,000 orang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *