Lima Kampung Menjadi Sasaran Polis Penampang Benteras Penyalahgunaan Dadah

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim menunjukkan rampasan barang kes yang melibatkan beberapa siri kejadian pecah rumah pada sidang media di IPD Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Polis kini giat “membersihkan” lima kawasan panas atau “hotspot” di sekitar daerah ini daripada kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim berkata pihaknya sudah mengenal pasti kawasan tersebut di sekitar Putatan dan juga di sini.

“Kita akan mempraktikkan strategi yang sama dengan pihak polis daerah Kota Kinabalu yang melakukan tindakan secara drastik di lima kawasan ini dalam tempoh tiga bulan.

Bercakap dalam sidang media di IPD Penampang hari ini, beliau berkata langkah tersebut berdasarkan arahan untuk memastikan kawasan ini bebas dari sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurut Harris, bermula awal bulan lepas pihaknya sudah melakukan sebanyak 32 operasi bagi membanteras aktiviti jenayah ini.

“Seramai tiga orang ditahan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seramai 20 orang ditahan bawah Seksyen 12(2) akta yang sama,” katanya.

Sementara itu, seramai 38 penagih dadah yang ditahan turut disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Tambah Harris, sepanjang operasi dijalankan pihaknya telah merampas sejumlah dadah jenis syabu dengan berat 21.74 gram, 0.30 gram dadah jenis Eramine 5 dan 0.30 gram dadah jenis ganja.

“Kesemua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM 5,000,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak polis IPD Penampang juga telah menahan seramai sembilan individu termasuk dua wanita dalam pelbagai kesalahan jenayah antara bulan Januari dan Februari.

“Kebanyakkan mereka ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah, Seksyen 389 Kanun Keseksaan kerana mencuri, curi kenderaan dan samun.

“Suspek yang ditahan telah didakwa di mahkamah dan terdapat juga masih direman untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan,” katanya. -SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/lima-kampung-menjadi-sasaran-polis-penampang-banteras-penyalahgunaan-dadah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *