Kelantan, Sabah ‘liat’ di Kota Bharu

PEMAIN Kelantan, Muhammad Fauzi Rozlan dhalang pemain Sabah, Sabri Sahar dalam saingan perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. – Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kelantan gagal bangkit di laman sendiri apabila sekadar seri 3-3 dengan Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi. 

Kelantan bermula garang apabila bekas penyerang Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima setelah Nik Akif Syahiran dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Namun penyerang import Sabah, Luka Milunovic berjaya menyamakan kedudukan 1-1 buat pasukannya pada minit ke-12 apabila menanduk masuk sepakan percuma.

Pada minit ke-16, pemain pertahanan tuan rumah, Mohamad Khairul Asyraf Ramli berpeluang menambah jaringan namun sepakannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol pelawat, Rozaimie Rohim sudah tertewas.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. 

Bermula babak kedua, Kelantan menambah jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan susulan Nik Akif Syahiran yang menerima hantaran penyerang import The Red Warriors (TRW), Raul Tarragona menjadikan kedudukan 2-1.

Pada minit ke-72, Sabah pula hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Luis Carlos Junior, namun cubaannya dari jarak kira-kira 25 meter itu ditampan keluar, penjaga gol Kelantan, Abdul Arif Abdullah. 

Pemain tengah Sabah, Maxsius Musa berjaya menyamakan kedudukan buat pasukannya pada minit ke-78 apabila merembatan kencang dalam kawasan penalti bagi menjadikan kedudukan 2-2. 

Sepakan deras Maxsius, pada minit ke-86 sekali lagi berjaya menambah koleksi jaringan peribadinya menjadikan kedudukan 3-2.

Selang tiga minit, Muhamnad Danial Haqim muncul penyelamat Kelantan apabila menyamakan kedudukan 3-3 menerusi sepakan deras selepas menerima hantaran Flavio untuk berpuas hati dengan satu mata. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *