UMNO alu-alukan siasatan SPRM terhadap PAS

SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra dengan orang ramai ketika mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: UMNO mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat parti itu berhubung dakwaan pemberian RM90 juta kepada PAS.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata SPRM sebelum ini sudah menyiasat akaun parti berkenaan termasuk akaun yang membabitkan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagaimanapun, perkara ini lebih berkaitan dengan PAS dan kita tidak mempunyai hak untuk berkata apa-apa, namun apa yang kita tahu, pihak SPRM sudah memeriksa akaun UMNO, saya pasti jika benar ada (pemberian RM90 juta), mereka (SPRM) pasti sudah menemuinya.

“Sedangkan RM90 pun mereka boleh temui, inikan pula RM90 juta,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Sabah di sini, hari ini.

Annuar berkata, isu berkenaan ada kemungkinan diperbesarkan berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas melihat kejayaan kerjasama UMNO dan PAS pada PRK Cameron Highlands, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, parti itu menyerahkan sepenuh kuasa kepada UMNO Sabah sama ada mahu bekerjasama dengan PAS atau tidak.

“UMNO Sabah sudah diberi autonomi, mereka mahu bekerjasama dengan siapa pun, biar mereka tentukan,” katanya.

Hari ini SPRM memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS termasuk bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Portal Sarawak Report pada Ogos 2017 menyiarkan laporan, antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN). – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *