Tewasnya `Geng Boy Lembaga’

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Harris Ibrahim menunjukkan berang yang dirampas dalam beberapa kejayaan membabitkan tangkapan kes pecah rumah di daerah Penampang ketika sidah media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang. STR/RYAN STANLEY.

POLIS Penampang berjaya menumpas ‘Geng Boy Lembaga’ yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini dan Putatan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Harris Ibrahim, berkata, dua ahli kumpulan itu iaitu lelaki warga tempatan berusia 20-an dan 30-an ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di Kota Kinabalu pada 29 Januari lalu.

“Geng Boy Lembaga ini memiliki beberapa kesalahan lampau membabitkan aktiviti pecah rumah dan dua suspek terbabit kini masih ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Penampang tadi.

Sementara itu dalam kes berasingan, Polis Penampang turut menahan dua lagi lelaki di Kampung Minintod selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah.

Dua kes pecah rumah berasingan itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Pada bulan lalu juga, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang menahan dua wanita yang dipercayai mencuri sebentuk cincin milik majikan mereka.

“Dua suspek terbabit ialah warga asing yang juga pembantu rumah sambilan kepada mangsa, mereka dipercayai mencuri cincin itu ketika majikan mereka tiada di rumah,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam dua lagi kes berasingan pada bulan lalu, Mohd Harris berkata tiga lelaki turut ditahan dengan dua daripadanya terbabit kes samun manakala seorang lagi dipercayai mencuri rim motosikal.

“Dua suspek yang melakukan samun itu diberkas di Kampung Putatan serta Tombongan dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala suspek yang mencuri rim motosikal itu ditahan di Kepayan Point dan disiasat mengikut Seksyen 379A kanun yang sama,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata sepanjang Januari lalu, pihaknya turut menjalankan operasi membabitkan kegiatan dadah iaitu 31 Ops Tapis dan satu Ops Sarang.

“Sepanjang operasi itu, kami sudah melakukan pemeriksaan terhadap 151 individu dengan jumlah tangkapan seramai 62 individu.

“Jumlah rampasan dadah juga membabit syabu sebanyak 21.74 gram dan ganja seberat 0.30 gram dengan jumlah nilai dadah terbabit dianggarkan kira-kira RM5,000,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *