Ops Limau: 60 ditahan serbuan banteras perjudian haram

OMAR (dua dari kiri) menunjukkan antara rampasan senapang buatan sendiri atau bakakuk pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seramai 60 individu ditahan dalam 15 serbuan terhadap kegiatan perjudian haram melalui Ops Limau yang dijalankan di negeri ini sejak 1 Februari hingga kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pihaknya turut merampas wang tunai RM71,000 dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tidak berlesen sempena Tahun Baharu Cina.

“Hasil maklumat awam dan risikan, ada pihak didapati menganjurkan aktiviti perjudian sempena perayaan ini. Justeru, Ops Limau dilancarkan di seluruh negara bagi mengekang kegiatan itu.

“Melalui 15 serbuan bermula 1 Februari lalu, seramai 60 individu berjaya ditahan dan wang tunai RM71,000 dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Omar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melakukan 799 serbuan membanteras kegiatan perjudian haram sepanjang tahun lalu berbanding 604 serbuan pada 2017.

“PDRM Sabah juga melakukan 1,447 tangkapan dan merampas RM718,000 wang tunai.

“Tangkapan itu meningkat berbanding 2017. Daripada 799 serbuan terbabit, lebih 50 peratus kes sudah dituduh di mahkamah dengan ada yang mengaku bersalah dan sebilangan lagi meminta dibicarakan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *