WARISAN harap BERSATU tidak masuk Sabah

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengagihkan limau sempena program tinjauan mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Semporna, hari ini. – Foto Abdul Rahemang Taiming

SEMPORNA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk masuk ke negeri ini tidak akan berlaku.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata perkara itu sudah mendapat kata sepakat pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU.

“Sebelum ini, kita (WARISAN) ada perjanjian bekerjasama dengan BERSATU dan berharap ia dapat dikekalkan. WARISAN dan BERSATU ibarat adik-beradik dan kita sudah berpakat,” katanya mengulas kenyataan bekas Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor mengenai BERSATU yang dijangka masuk ke negeri ini dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan limau sempena program tinjauan mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata BERSATU akan masuk ke Sabah dalam masa terdekat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata walaupun BERSATU adalah parti Melayu dan Bumiputera, tetapi kerajaan negeri yang diterajui WARISAN dengan gabungan DAP dan PKR turut mendapat sokongan majoriti rakyat pada pilihan raya lalu.

“Kita menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuktikan kita boleh bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai isu pelantikan ketua adat dan pemimpin masyarakat yang didakwa dimonopoli kaum tertentu, beliau berkata perkara itu tidak timbul kerana setiap individu yang dilantik mempunyai kelayakan dan kelebihan masing-masing.

“Jangan kita mainkan isu kaum kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat. Ada Individu yang kita lantik di kawasan itu kerana sudah menetap di situ lebih 40 tahun, dan apa yang lebih penting (lantikan) itu adalah untuk perkhidmatan terbaik dapat mewujudkan perpaduan kaum,” katanya. – Haria Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *