Jangan main isu kaum : Ketua Menteri Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

SEMPORNA, 7 Feb – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan isu kaum yang boleh menjadi landasan kepada perpecahan rakyat di negeri ini.

Beliau menegaskan perkara itu selepas mengulas wujud usaha cuba menyuntik sentimen kaum berikutan ketidakpuasan hati terhadap isu lantikan Ketua Anak Negeri.

Mohd Shafie berkata lantikan individu untuk memegang sesuatu jawatan misalnya Ketua Anak Negeri di ukur berdasarkan kelayakan pendidikan, perkhidmatan bersih serta penyertaan penduduk setempat.

“Misalnya lantikan Ketua Anak Negeri Tawau itu adalah bertepatan dan memandangkan beliau lebih 40 tahun menetap di Tawau.

“Perkara yang penting, pelantikan seseorang itu adalah kita mahu menyatukan rakyat dan bukan sekadar melihat kepada individu itu bukan anak negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kaedah pelantikan individu menjadi Ketua Anak Negeri ketika ini adalah bersifat adil dan keutamaannya adalah kesesuaian calon serta dapat membantu penduduk di setempat.

“Kita yakin bila kita letak orang Cina di kawasan Cina maka itu memudahkan persefahaman, takkan pula kita lantik orang Bajau mengepalai komuniti Dusun di kawasan Keningau, mesti kita bagi Dusun.

“Ini antara pendekatan kita tetapi tidak bermakna kaum lain tidak ada tempat (kuota) sebab itu sesetengah tempat kita ukur kelayakannya,” katanya lagi.

Menurutnya, mengambil contoh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung berasal dari Kalabakan tetapi menjadi wakil rakyat di kawasan Tawau kerana melihat kapasiti kebolehannya.

Sementara itu, semalam Mohd Shafie ketika berucap dalam Majlis Tilawah al-Quran di sini berkata Islam tidak mengajar umatnya taksub terhadap sesuatu perkara sehingga ekstrim dan wujud perbalahan.

Katanya, Islam itu mengajar umatnya untuk mencapai sesuatu perkara menggunakan kaedah yang murni dan betul.

Selain itu, beliau mahu umat Islam terus mengimarahkan masjid di setiap daerah dengan kehadiran misalnya pada waktu solat Jumaat.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *